Sunday, 19 June 2011

Selamat Hari Bapa

Sambutan hari bapa sedunia adalah berbeza di setiap dunia. Di Malaysia sambutan hari bapa bagi tahun ini adalah pada 19 Jun 2011. Justeru itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari bapa kepada semua jiran yang bergelar bapa. Bapa seharusnya memainkan peranan dalam membentuk generasi yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Hadith Nabi SAW mengenai ibu bapa :
“ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “ Saya telah bertanya kepada Nabi SAW : “ Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah ? ” Baginda menjawab : “ Sembahyang dalam waktunya. ” Beliau bertanya lagi : “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Kemudian berbakti kepada ibubapa. ” Beliau bertanya lagi: “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Berjihad di jalan Allah. ” Beliau berkata lagi: “ Baginda SAW telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda SAW menambah lagi, pasti Baginda SAW menambah untuk saya. ” [Hadis riwayat Bukhari]

Sunday, 12 June 2011

Jadilah Pelajar Yang Cemerlang

Selamat kembali ke sekolah setelah bercuti selama dua minggu. Sudah semestinya memerlukan tenaga dan semangat yang baru bagi menjadikan diri sentiasa cemerlang. Menurut Dr. Fadzilah Kamsah pelajar cemerlang akan menggunakan kedua-dua belah otak kanan dan kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut. Kajian menunjukkan bahawa:
a) Kita ingat 10% apa yang dibaca
b) Kita ingat 20% apa yang didengar
c) Kita ingat 50% apa yang didengar dan dilihat
d) Kita ingat 70% apa yang dicakapkan
e) Kita ingat 90% apa yang dipraktikkan

Terdapat beberapa ciri pelajar cemerlang:
a) Taat kepada Allah
b) Mendirikan sembahyang
c) Menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
d) Menghormati guru
e) Bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan
f ) Suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
g) Mahir dalam setiap mata pelajaran
h) Membantu rakan yang memerlukan
i) Berdoa dan bersyukur kepada Allah
j) Sentiasa bertawakal

Tuesday, 7 June 2011

Ibu Bapa Membentuk Generasi Berilmu dan Berakhlak

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan agen utama dan yang pertama perlu memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab mengasuh, mendidik mengajar serta membimbing anak-anak  untuk menjadi pewaris pelapis kepada generasi yang cemerlang ilmu dan akhlaknya di dunia dan di akhirat. Sekaligus membentuk anak-anak kita yang bukan sahaja boleh dijadikan cermin generasi tetapi juga sebagai pejuang kepada amar makruf dan nahi mungkar.
Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan kita dalam mentarbiah anak-anak adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama.

Maka pengetahuan kita dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu dipertingkatkan sesuai dengan kemajuan dan kemodernan dunia yang serba canggih, dengan mengumpul, mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang sesuai untuk diterapkan dalam agenda memantapkan sasiah diri anak-anak.

Justeru itu, selaku ibu bapa sama-samalah kita berusaha melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak.